Nota Tatabahasa: Kata Bantu Aspek

Photo of author

By Cikgu Unicorn

Kata bantu  ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Kata bantu menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam dalam binaan ayat. Kata bantu dapat dikategorikan  kepada dua kumpulan iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam.

Kata bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada masa lampau, masa ini (kini) atau masa hadapan. Bentuk-bentuk kata bantu aspek yang dominan dalam kalangan penutur jati bahasa Melayu ialah telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum.

Masa lampauMasa ini (kini)Masa hadapan
telah
sudah
pernah
selalu
sedang
tengah
masih
akan
belum



Contoh ayat kata bantu: Masa lampau

  1. Pekerja industri itu telah pulang ke rumah.
  2. Murid-murid itu sudah bersarapan.
  3. Kami pernah melawat ke Sabah.
  4. Aminah selalu teringat akan gurunya yang sudah bersara itu.

Contoh ayat kata bantu: Masa ini (Kini)

  1. Ah Meng sedang membaca komik.
  2. Mutusamy tengah menyiapkan kerja khususnya.
  3. Puan Siti masih memasak di dapur.

Contoh ayat kata bantu: Masa Hadapan

  1. Johari akan ke Kuala Lumpur esok.
  2. Baju itu belum berbasuh lagi.



Kata bantu bersama kata kerja

Kata bantu aspek tertentu boleh hadir bersama-sama tanpa menjejaskan makna dalam binaan kata kerja. Sila lihat ayat contoh yang berikut ini.

  1. belum + pernah
    Muhammad Hanif belum pernah melawat ke Kuala Lumpur.
  2. masih + belum
    Harizah masih belum menjamah kuetiau tersebut.

Kata bantu tidak boleh hadir berderetan

Walau bagaimanapun, ada sesetengah kata bantu aspek tidak boleh hadir bersama-sama atau berderetan, malah binaan ayat yang terhasil juga tidak gramatis. Sila lihat ayat contoh yang berikut:

  • Gadis itu akan belum berumah tangga lagi. (X)
  • Banyak orang akan sedang mengikuti ulasan langsung pertandingan bolasepak itu. (X)
  • Melissa belum akan menyiapkan tugasan sekolahnya. (X)

Ayat di atas menyalahi rumus tatabahasa Melayu. Oleh itu, pengguna bahasa Melayu baku perlu berhati-hati dalam hal ini.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.