Pahlawan Melayu Tampil Kelainan Menyambut Kehadiran Murid Sempena Hari Pertama Persekolahan SMK Seri Intan, Kluang sesi 2020

Photo of author

By Rafiz Mohd Salleh

Bersesuaian dengan ‘tagline’ Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Seri Intan – ‘Memenangi Jiwa Murid’. Warga pendidik perlu sentiasa menunjukkan sifat kasih sayang kerana tindakan memberikan kasih sayang itu merupakan satu bentuk pendidikan. Guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) akan dapat dilaksanakan dengan fikiran yang tenang.

Dalam usaha meningkatkan hubungan kasih sayang antara guru dan murid ini, aktiviti menyambut kehadiran murid terus dibudayakan di SMK Seri Intan, Kluang bagi sesi persekolahan 2020. Pada tahun ini, kelainan yang kami tampilkan di mana julung-julung kalinya, Unit Bimbingan dan Kaunseling menampilkan Pahlawan Melayu yang dibarisi oleh Alumni SMK Seri Intan sebagai maskot pilihan menyambut kehadiran murid. Pada hari pertama persekolahan hari ini, Yang Berusaha, Cikgu Abdul Razak bin Ibrahim selaku Pengetua Cemerlang SMK Seri Intan, Kluang turut serta turun padang bersama-sama Yang DiPertua PIBG, Tn. Hj. Kamarolzaman bin Hj Shaari serta barisan guru-guru menunggu kehadiran murid-murid di pintu pagar sekolah.

Yang menariknya, aktiviti menyambut kehadiran pelajar di pintu pagar sekolah. Unit bimbingan dan kaunseling, SLB (Student Leaders Board) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) SMK Seri Intan telah menyumbangkan ‘key chain’ kepada 400 pelajar yang datang awal ke sekolah sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang. Tidak ketinggalan juga, pemberian pen diberikan kepada guru-guru sempena Hari Pertama Persekolahan.


Beberapa aksi dan gelagat sempat dirakamkan oleh lensa kamera sepanjang aktiviti menyambut kehadiran murid SMK Seri Intan bersama Pahlawan Melayu di hari pertama persekolahan pada hari ini.

Pengetua SMK Seri Intan, Yang Berusaha, Cikgu Abdul Razak bin Ibrahim ketika melaksanakan program tersebut berharap suasana dan pendekatan tersebut berlaku di semua sekolah pada setiap hari persekolahan di mana setiap sekolah akan menjalankan program dan aktiviti berkonsepkan guru penyayang dan sekolah penyayang bagi membolehkan guru mengamal dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah.


Menurutnya untuk membudayakan guru penyayang dan mewujudkan sekolah penyayang atau sekolah tanpa takut, guru seharusnya berupaya menjadi contoh dan teladan yang baik, pendorong yang berkesan, pembimbing yang bertimbang rasa, pendengar yang penuh rasa simpati dan menjadi sumber inspirasi kepada murid-muridnya.

Sehubungan itu, Guru Bimbingan & Kaunseling SMK Seri Intan, Cikgu Rafiz bin Mohd Salleh bersama rakan sejawatnya sering memikirkan aktiviti-aktiviti yang kreatif dan inovatif demi menarik minat murid untuk hadir ke sekolah. Tanggapan awal murid terhadap sekolah adalah salah satu faktor peratus kehadiran murid terus meningkat. Amalan 4S (Senyum, Sapa, Salam dan Solat) perlu diterapkan oleh warga sekolah dalam membentuk hubungan teraputik sebagai galakan pelajar datang ke sekolah.


Tambahnya, tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada muridnya, tetapi lebih daripada itu, iaitu mendidik, membimbing dan membangunkan potensi murid mengikut lunas-lunas nilai masyarakat dalam konteks masyarakat Malaysia seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020. Profesion perguruan juga adalah untuk membina dan membentuk masyarakat beretika yang mampu membangun dan membina kekuatan sendiri serta menentukan masa depan yang bebas daripada pelbagai krisis sosial dan moral.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.