UPSR dan PT3 Dibatalkan Berikutan Penularan COVID-19

Photo of author

By GengSekolah.Com

KPM telah memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan. Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

KPM Perkenal Kaedah Baharu

Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

Pembelajaran Berterusan di Semua Institusi

KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid kepada PdP tetap diberikan keutamaan.Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini. Sekali lagi KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.

Peperiksaan UPSR, UPKK dan PT3 Dibatalkan

Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid. Setakat ini, berikut merupakan Ujian dan Peperiksaan yang dibatalkan:

  1. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)
  2. Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
  3. Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)

Peperiksaan yang Akan Diteruskan

Peperiksaan yang tetap akan dilaksanakan ialah SPM, SVM, STPM dan STAM. Tarikh peperiksaan ini ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

  • SPM – Ditangguhkan kepada suku pertama 2021.
  • SVM – Ditangguhkan kepada suku pertama 2021.
  • STAM – Ditangguhkan kepada suku pertama 2021.
  • STPM – Peperiksaan Semester 2 ditangguhkan Ogos 2020, Peperiksaan Semester 3 ditangguhkan kepada suku pertama 2021.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.