Surat Siaran Pelaksanaan PdP Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Photo of author

By GengSekolah.Com

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020. Berdasarkan keadaan semasa dan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19, Kerajaan telah mengisytiharkan lanjutan PKP bermula 1 April hingga 14 April 2020.

Guru Perlu Bekerja dari Rumah Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Dengan pelaksanaan PKP, guru hendaklah bekerja dari rumah supaya akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dapat diteruskan dalam tempoh PKP ini. Perkara ini selaras dengan surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Arahan Bekerja Dari Rumah Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan Penutupan Premis Kerajaan bertarikh 17 Mac 2020.

Maksud PdP Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

PdP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermaksud proses PdP yang dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. PdP harus melibatkan kaedah pembelajaran yang bersesuaian mengikut keupayaan dan kesediaan murid dengan menggunakan medium komunikasi dan aplikasi yang bersesuaian.

Pelantar pembelajaran yang boleh digunakan adalah pelantar pembelajaran yang disediakan oleh KPM iaitu MOE-DL atau pelantar pembelajaran lain yang disediakan oleh JPN, PPD, sekolah dan pelbagai pihak lain.

Objektif Pelaksanaan PdP Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Objektif garis panduan ini adalah untuk memastikan perkara berikut:

  • Proses PdP berlaku seperti yang dirancang dan dalam keadaan yang selamat;
  • Pengetua dan guru besar hendaklah memastikan proses PdP dapat dilaksanakan secara teratur dalam tempoh PKP; dan
  • Ibu bapa/ penjaga dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam memastikan kelangsungan pembelajaran murid walaupun tidak dapat menghadiri sesi persekolahan.

Cara Pelaksanaan PdP Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Pelaksanaan PdP semasa PKP perlu dilaksanakan mengikut ketetapan berikut:

  • Guru digalakkan menggunakan kaedah pembelajaran melalui pelbagai pelantar pembelajaran yang bersesuaian secara dalam talian. Pelantar pembelajaran yang disediakan oleh KPM ialah MOE-DL dan boleh diakses melalui http://www.moe-dl.edu.my.
  • Guru juga boleh mengarahkan murid melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa keluar dari rumah;
  • Guru diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan/ tugasan/ kerja rumah murid. Keadaan ini bergantung kepada kesediaan dan keupayaan serta bentuk komunikasi dan aplikasi yang digunakan;
  • Penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang melibatkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali;
  • Sebarang pertanyaan dalam kalangan ibu bapa/ penjaga atau murid kepada guru berkaitan latihan/ tugasan/ kerja rumah murid boleh dibuat dalam tempoh waktu bekerja guru.

Peranan Pengetua / Guru Besar Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

  • Memastikan perancangan dan pengurusan PdP semasa PKP dilaksanakan dengan teliti, cekap dan berkesan;
  • Mengatur jadual pembelajaran yang fleksibel bagi menguruskan aktiviti PdP yang berkesan; dan
  • Memantau PdP yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru.

Peranan Guru Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

  • Melaksanakan semua tugasan dari rumah dan tidak dibenarkan ke sekolah;
  • Membuat catatan ringkas PdP yang dijalankan sebagai rujukan;
  • Merancang, menyedia dan menyampaikan bahan PdP sesuai mengikut keupayaan murid;
  • Membimbing murid menggunakan medium komunikasi dan aplikasi yang boleh diakses oleh murid;
  • Memberi arahan/ tugasan/ kerja rumah melalui pelbagai strategi/ kaedah mengikut kreativiti guru, serta menyampaikannya dengan menggunakan bentuk komunikasi dan aplikasi yang mudah diakses oleh murid; dan
  • Menggalakkan penggunaan kaedah pembelajaran berbantukan teknologi (secara dalam talian).

Peranan Ibu Bapa Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

  • Memastikan murid mendapat maklumat berkaitan sesi PdP bersama-sama guru ataupun arahan/ tugasan/ kerja rumah yang diberikan guru;
  • Mengakses EduwebTV (koleksi video) dan CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) bagi membantu pembelajaran anak di rumah melalui http://eduwebtv.moe.edu.my dan http://bit.ly/cikgootube; dan
  • Menyokong proses pembelajaran murid dalam tempoh PKP.

Peranan Murid Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

  • Menghubungi guru dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keupayaan cara komunikasi bagi mendapat maklumat berkaitan proses PdP dan arahan/ tugasan/ kerja rumah yang perlu mereka selesaikan;
  • Menggunakan komunikasi dan aplikasi yang disediakan oleh guru atau yang diminta oleh guru. Peralatan dan saluran komunikasi seperti telefon, internet dan sebagainya tidak disediakan oleh guru;
  • Melaksanakan aktiviti pembelajaran menggunakan buku teks, buku kerja, buku ulang kaji dan buku aktiviti tanpa perlu keluar dari rumah.

Muat Turun
Surat Siaran Pelaksanaan PdP Semasa Pelaksanaan Kawalan Pergerakan

1 thought on “Surat Siaran Pelaksanaan PdP Semasa Perintah Kawalan Pergerakan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.