UiTM Tawar RM 1 Juta Biasiswa Pelajar Cemerlang

Photo of author

By Cikgu Unicorn

Berita baik untuk semua pelajar cemerlang institusi pengajian tinggi (IPT). Universiti Teknologi Mara (UiTM) buat julung kalinya menawarkan biasiswa berjumlah RM1 juta untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada September akan datang.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, biasiswa yang disediakan melalui tabung endowmen universiti itu akan memberi manfaat kepada 52 pelajar cemerlang IPT untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata tabung berkenaan ditubuhkan atas nama Kumpulan Wang Endowmen UiTM pada 26 Feb lepas dan dananya adalah hasil sumbangan pihak korporat, alumni serta orang persendirian untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian mereka.

“Biasiswa Endowmen UiTM ini terbuka kepada pelajar cemerlang dalam apa juga bidang dengan pencapaian sekurang-kurangnya Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 3.50 untuk pelajar tempatan dan HPNG 3.75 bagi pelajar antarabangsa.

“Sepanjang pembiayaan biasiswa itu, para pelajar diberi elaun bulanan, yuran pengajian dan perbelanjaan yang diperlukan. Permohonan biasiswa itu akan mula dibuka pada Ogos ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Mohd Azraai menjelaskan, pembiayaan biasiswa berkenaan diperuntukkan untuk 40 pelajar Sarjana Muda, dan masing-masing tiga pelajar peringkat Sarjana serta PhD.

Katanya, baki enam tempat lagi dikhususkan untuk pelajar cemerlang Sarjana dan PhD antarabangsa bagi membolehkan mereka menerajui bidang penyelidikan tertentu.

“Pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang Sarjana dan PhD antarabangsa adalah untuk memangkin agenda UiTM menerajui bidang-bidang penyelidikan yang khusus seperti teknologi industri, logistik, pengangkutan, inovasi dan kreativiti sosial.

“Biasiswa Endowmen UiTM bertujuan membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian mereka melalui bantuan kewangan secara lestari seterusnya melonjakkan nama universiti ini dengan pemerkasaan kualiti golongan berkenaan dan pensyarah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama kata Mohd Azraai, pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang itu adalah  pendekatan agresif institusi berkenaan sejajar dengan Pelan Perancangan Strategik UiTM 2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

Sumber: BERNAMA

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.