Nota Tatabahasa: Kata Kerja Tak Transitif

Photo of author

By Cikgu Unicorn

Kata kerja tak transitif (intransitif) ialah kata kerja yang sudah sempurna maknanya dan dapat berdiri sendiri dalam ayat. Oleh itu, KKTT tidak memerlukan objek atau penyambut untuk menyempurnakan maksudnya. KKTT tidak boleh dipasifkan.

Kata kerja tak transitif boleh dikenal pasti melalui imbuhannya, contohnya adalah seperti yang di bawah ini.

  • Tanpa imbuhan (pulang, pergi, duduk, mati, tidur, balik)
  • meN-…             (mengalir, meletup, menangis, membisu)
  • ber-…               (berbicara, bercadang, berbincang, berkereta)
  • ter-…               (terkeluar, terjatuh, terpelosok, tertarik)
  • ber-…-an          (berguguran, bergandingan, berkibaran, bertaburan)
  • ber-…-kan        (berselimutkan, bersuamikan, beristerikan, berbantalkan)

Jenis Kata kerja tak transitif

Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua iaitu;

  • Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap
  • Kata kerja tak transitif berpelengkap



Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap

Kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa pelengkap. Contoh:

  • Gadis itu asyik termenung.
  • Ayah dan ibu sedang berbicara.
  • Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban.

Kata Kerja Tak Transitif di atas boleh diikuti oleh unsur keterangan yang berfungsi memberikan keterangan lanjut tentang ayat tersebut. Contoh:

  • Si Dara itu asyik termenung di dalam kamar.
  • Hanif dan Nazimah sedang berbicara tentang pilihan raya.
  • Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban ke dalam gaung yang dalam.

Kata kerja tak transitif Berpelengkap

Kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap (terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata sendi nama) untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap tidak sama dengan objek atau penyambut kerana objek atau penyambut hadir selepas Kata Kerja Transitif yang boleh mengalami proses pasif. Ayat yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Contoh:

  • Keadaan banjir sudah beransur surut.
  • Pasaran saham di Malaysia sudah bertambah baik.
  • Pengemis itu tidur berbantalkan lengan.
  • Ying Ying bercita-cita untuk menjadi arkitek.
  • Cikgu Zakiah tinggal di Kepala Batas.
  • Hampir lima tahun Mak Limah menetap di kampung ini.

1 thought on “Nota Tatabahasa: Kata Kerja Tak Transitif”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.