Nota Tatabahasa: Kata Pemeri

Photo of author

By Cikgu Unicorn

Kata pemeri berfungsi untuk menunjukkan huraian atau keterangan, dan menunjukkan persamaan dalam sesuatu ayat. Kata peeri boleh hadir di hadapan frasa adjektif, frasa sendi dan frasa nama. Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu:

  1. ialah
  2. adalah

Perlu kita ketahui, kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja.

Contoh Penggunaan Kata Pemeri Ialah

Kata Pemeri Ialah berfungsi untuk menunjukkan persamaan hadir di hadapan frasa nama. Contoh penggunaan kata pemeri ialah adalah seperti berikut:

  • Rumah yang cantik itu ialah rumah Encik Mazlan.
  • Emak ialah seorang guru.
  • Agama rasmi Negara ialah agama Islam.

Contoh Penggunaan Kata Pemeri Adalah

Kata Pemeri Ialah berfungsi untuk menunjukkan huraian atau keterangan. Hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi. Contoh penggunaan kata pemeri adalah adalah seperti berikut:

  • Meja yang dibeli itu adalah daripada kayu jati.
  • Warna kasut abang adalah hitam.
  • Tujuan pertandingan itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat baru.

Kata Pemeri Tidak Boleh Hadir Bersama Kata Nafi

Pada umumnya, kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama dengan kata nafi. Contohnya kita boleh lihat melalui ayat berikut:

  • Salah: Siswazah yang baru lulus itu ialah bukan pengetua maktab.
  • Betul : Siswazah yang baru lulus itu bukan pengetua maktab.
  • Salah: Arahan itu adalah bukan untuk semua pegawai.
  • Betul : Arahan itu  bukan untuk semua pegawai.

Kata pemeri boleh wujud dalam binaan kata nafi + frasa adjektif

Contoh binaan kata nafi + kata adjektif:-

  1. Tidak benar
  2. Tidak cantik
  3. Tidak adil

Contoh ayat:

  1. Laporan itu adalah tidak benar.
  2. Keputusan itu adalah tidak adil.

Kata pemeri TIDAK BOLEH hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa Bahasa Melayu. Contoh:-

  • Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
    Struktur ayat yang betul ialah:-
    • Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
    • Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
    • Ibu Bapa diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
    • Tuan-tuan diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
    • Dengan hormatnya diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
  • Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Selasa.
    Struktur ayat yang betul ialah:-
    • Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Selasa.
  • Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.
    Struktur ayat yang betul ialah:-
    • Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.